Info Masjid


Masjid Kg Laut merupakan sebuah masjid yang terletak di jajahan Kota Bharu, Kelantan. Ia terletak di Nilam Puri berhadapan dengan Universiti Malaya, kampus cawangan Kelantan, iaitu 20 km dari pusat bandar Kota Bharu. Usia masjid ini dipercayai melebihi 300 tahun dan turut dikaitkan kedatangan Islam di Kepulauan Nusantara abad ke-17 Masihi. Selain diiktiraf sebagai masjid tertua di negara ini, Masjid Kampung Laut turut disenaraikan antara masjid paling "bersejarah" di Asia Tenggara, seangkatan dengan masjid Nat Tanjung dan Wadi Hussin di Thailand, Masjid Demak di Jawa, Indonesia dan Masjid Kono (Champa, Kemboja).

Sejarah

Cerita lisan

Menurut cerita lisan tradisi, berabad-abad dahulu, para pendakwah belayar ke sepanjang kepulauan Melayu untuk menyebar agama Islam. Pada tahun 1730-an, sekumpulan pendakwah melalui pantai timur Semenanjung Malaysia dalam perjalanan mereka dari Patani di selatan Thailand ke Jawa di Indonesia. Malangnya perahu mereka bocor dan mengalami kesulitan. 

Para mubaligh dalam perahu itu bersumpah bahawa kalau mereka dibawa ke pantai dengan selamat, mereka akan membina sebuah masjid dengan serta merta untuk memperingati peristiwa itu. Doa mereka dikabulkan, dan para pendakwah mendarat di Kampung Laut, Tumpat.

Binaan masjid

Masjid yang asal bukannya apa yang dilihat pada hari ini. Ia merupakan sebuah struktur asas dengan hanya empat tiang yang menyangga bumbung tiga tingkat yang diperbuat daripada daun rumbia. Keluasanya hanya 400 kaki persegi pada keseluruhannya. 

Pada akhir abad ke-19, masjid ini menjadi satu pusat agama yang penting, dan masjid itu diperbesar untuk merangkumi bilik sembahyang tambahan, peran, serambi, dan menara. 20 batang tiang dibina untuk menyangga binaan tambahan ini. Binaan tambahan ini menggunakan teknik 'Tebuk-Pasak' yang amat unik. Ia dibina daripada kayu tetapi tidak menggunakan walau sepucuk paku sekalipun. Atap daun rumbianya digantikan dengan atap genting.
 
Malangnya, asas masjid itu lemah. Dibina di tebing sungai, masjid itu sering dilanda oleh banjir kilat seperti banjir tahun 1926 yang dikenali sebagai "Bah Air Merah" yang melemahkan lagi asasnya. Selepas dilanda sekali lagi oleh banjir yang teruk pada tahun 1966 yang menghanyutkan sebahagian masjid itu, Persatuan Sejarah Malaysia mencadangkan pemindahan masjid itu ke tempat yang lebih selamat. Pada tahun 1968, masjid itu dibuka dan dipasang semula di kawasan Sekolah Pengajian Islam di Nilam Puri.

Pada tahun 1988, masjid ini diperbaik lagi dengan kemudahan-kemudahan moden seperti elektrik, air paip, tandas, dan kawasan duduk. Tiang-tiang dan dinding-dinding masjid juga dihias dengan ukiran kayu. Dengan tambahan-tambahan ini, kawasan binaan menjadi 5,254 kaki persegi (74 kaki x 71 kaki), iaitu 13 kali lebih besar daripada masjid asal.
Masjid Kampung Laut kini masih merupakan pusat agama yang aktif dan telah dianggap sebagai salah satu muzium yang paling penting di Semenanjung Malaysia.

Diambil daripada : http://ms.wikipedia.org/wiki/Masjid_Kampung_Laut,_Nilam_Puri



ARKIB : 18/07/2009
Imarahkan Masjid Lama Mulong
Oleh ASMA HANIM MAHMOOD
utusankelantan@utusan.com.my




KOTA BHARU 17 Julai - Selepas lapan bulan mengalami proses baik pulih, Masjid Ar-Rahman atau Masjid Lama Mulong muncul dengan wajah silamnya yang indah dan dibuka untuk diimarahkan semula baru-baru ini.
Dalam acara serba sederhana mengikut peradaban Islam, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim menyempurnakan majlis perasmian bangunan warisan itu.


Majlis bermula apabila Rais bersama lebih 100 jemaah lain menunaikan solat isyak berjemaah di atas tapak bangunan seluas 116 meter persegi yang kemudiannya diserikan dengan bacaan al-Quran daripada qari jemputan. 


Bagi Rais, Masjid Lama Mulong patut menjadi kebanggaan segenap lapisan penduduk setempat bukan kerana fungsinya sahaja tetapi keunikan reka bentuknya yang menggabungkan pelbagai unsur seni bina Melayu Kelantan bersama unsur binaan Cina.


''Entah tangan tukang mana yang telah bertungkus-lumus mengukir jejala di kanan dan kiri masjid. Jika diperhatikan betul-betul, saya dapati ia saling tak tumpah dengan ukiran yang saya dapat lihat semasa melawat masjid-masjid di China.


''Mungkin ia petunjuk bahawa negeri Kelantan ini dahulu bersamudera terus dengan China Yunan dan tamadun-tamadun lain," katanya ketika berucap pada majlis itu.


Masjid Lama Mulong merupakan bekas Balairung Seri Istana Raja Dewa Tuan Zainal Abidin, putera baginda Sultan Kelantan, Sultan Muhammad III.


Ia dibina sekitar tahun 1900 di Kota Bharu berhampiran Istana Balai Besar dan lama ditinggalkan kosong selepas Perang Dunia Kedua. 


Kemudian, pada tahun 1958, penduduk Kampung Kedai Mulong telah membeli binaan balairung ini dengan harga RM1,000 untuk dijadikan masjid di penempatan mereka yang terletak 11 kilometer dari bandar Kota Bharu.


Pemindahan pada waktu itu dilakukan dengan lori dan struktur lantai dan bumbungnya telah dipotong dua bagi tujuan tersebut. Ia dipasang semula secara gotong-royong seperti bentuk asal balairung seri dengan penambahan ruang mihrab dan anjung masuk.


Sebagai sebuah balairung seri, bangunan ini mempunyai ukiran jejala yang halus pertukangannya termasuk mural lukisan awan larat air emas pada kepingan papan janda berhias.
Yang menariknya mural tersebut ditemui selepas pekerja pemuliharaan mengikis cat lama pada kepingan papan dinding masjid itu.


Menurut Rais, kerja-kerja pemuliharaan warisan seni bina itu adalah antara 12 projek konservasi yang dijalankan oleh Jabatan Warisan Negara (JWN) di negeri Kelantan yang menelan belanja RM13 juta.
''Selain Masjid Lama Mulong, projek lain adalah seperti pembaikan Masjid Kampung Laut, Nilam Puri, bangunan Wat Kampung Dalam di Tumpat dan tokong Mek Nyet Keung di Kampung Pulai, Gua Musang,'' katanya.


Salah satu kerja yang dijalankan semasa projek konservasi adalah mengalihkan ia secara mekanikal berikutan kedudukan tapak bangunannya terkeluar sebanyak sembilan kaki dari tanah yang diwakafkan. 


Ia dialihkan ke depan sebanyak 7.01 meter dan ke sisi kanan sebanyak 3.3 meter dengan menggunakan kaedah chain-lock. Kaki-kaki tiang masjid diangkat naik ke atas dan dilapik dengan batang besi paip untuk menggerakkannya dengan tenaga manusia.


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Masjid Ar- Rahman, Adnan Nusoh berkata, idea konservasi masjid tersebut dipelopori pada mulanya oleh Allahyarham Cikgu Hamzah Mahmud, penduduk asal di situ.


''Allahyarham yang bertungkus lumus melobi idea ini dengan Pesuruhjaya Jabatan Warisan Negara (JWN), Prof. Emeritus Datuk Siti Zuraina Majid tetapi dia meninggal sebulan selepas jawatankuasa masjid menyerahkan masjid kepada JWN pada 22 November 2008 untuk tujuan pemuliharaan,'' katanya semasa berucap mengimbau sejarah masjid tersebut.


Menurutnya, sebahagian tapak bangunan masjid itu merupakan wakaf daripada Allahyarham Abdul Rahman Ismail atau lebih dikenali sebagai Ayah Su. 


Masjid Lama Mulong yang hanya sepelaung jauhnya dari Masjid Kampung Laut dan terletak betul-betul di tepi jalan besar ini hanya menanti jemaah datang menghidupkannya dan bukan semata-mata dibaik pulih untuk hiasan mata memandang.